Saturday 20 November 2010

Bebas dari syaitan

Kata Rasulullah s.a.w lagi: “Di antara tipu dayanya juga dia suruh langit supaya menurunkan hujan tiba-tiba hujan pun turun. Dia suruh bumi supaya mengeluarkan tumbuh-tumbuhannya tiba-tiba tumbuh. Dan termasuk ujian yang paling berat bagi manusia, Dajjal itu datang ke perkampungan orang-orang baik dan mereka tidak mengakunya sebagai Tuhan, maka disebabkan yang demikian itu tanam-tanaman dan ternakan mereka tidak menjadi. Dajjal itu datang ke tempat orang-orang yang percaya kepadanya dan penduduk kampung itu mengakunya sebagai Tuhan. Disebabkan yang demikian hujan turun di tempat mereka dan tanam-tanaman mereka pun menjadi." “Tidak ada kampung atau daerah di dunia ini yang tidak didatangi Dajjal, kecuali Makkah dan Madinah. Kedua-dua kota itu tidak dapat ditembusi oleh Dajjal kerana dikawal oleh Malaikat. Dia hanya berani menginjak pinggiran Makkah dan Madinah. Namun demikian ketika Dajjal datang ke pergunungan di luar kota Madinah, kota Madinah bergoncang seperti gempa bumi. Ketika itu orang-orang munafik kepanasan seperti cacing dan tidak tahan lagi tinggal di Madinah. Mereka keluar dan pergi bergabung dengan orang-orang yang sudah menjadi pengikut Dajjal. Inilah yang dikatakan hari pembersihan kota Madinah.”

Dalam hadis yang lain, “di antara fitnah atau tipu daya yang dibawanya itu, Dajjal itu lalu di satu tempat kemudian mereka mendustakannya (tidak beriman kepadanya), maka disebabkan yang demikian itu tanam-tanaman mereka tidak menjadi dan hujan pun tidak turun di daerah mereka. Kemudian dia lalu di satu tempat mengajak mereka supaya beriman kepadanya. Mereka pun beriman kepadanya. Maka disebabkan yang demikian itu Dajjal menyuruh langit supaya menurunkan hujannya dan menyuruh bumi supaya menumbuhkan tumbuh-tumbuhannya. Maka mereka mudah mendapatkan air dan tanam-tanaman mereka subur.”

Dari Anas bin Malik, katanya Rasulullah s.a.w bersabda: “Menjelang turunnya Dajjal ada tahun-tahun tipu daya, iaitu tahun orang-orang pendusta dipercayai orang dan orang jujur tidak dipercayai. Orang yang tidak amanah dipercayai dan orang amanah tidak dipercayai.”

Dari Jabir bin Abdullah, katanya Rasulullah s.a.w ada bersabda: “Bumi yang paling baik adalah Madinah. Pada waktu datangnya Dajjal nanti ia dikawal oleh malaikat. Dajjal tidak sanggup memasuki Madinah. Pada waktu datangnya Dajjal (di luar Madinah), kota Madinah bergegar tiga kali. Orang-orang munafik yang ada di Madinah (lelaki atau perempuan) bagaikan cacing kepanasan kemudian mereka keluar meninggalkan Madinah. Kaum wanita adalah yang paling banyak lari ketika itu. Itulah yang dikatakan hari pembersihan. Madinah membersihkan kotorannya seperti tukang besi membersihkan karat-karat besi.”

Diriwayatkan oleh Ahmad, hadis yang diterima dari Aisyah r.a. mengatakan: “Pernah satu hari Rasulullah s.a.w masuk ke rumahku ketika aku sedang menangis. Melihat aku menangis beliau bertanya: “Mengapa menangis?” Aku menjawab: “Ya Rasulullah, engkau telah menceritakan Dajjal, maka aku takut mendengarnya.” Rasulullah s.a.w berkata: “Seandainya Dajjal datang pada waktu aku masih hidup, maka aku akan menjaga kamu dari gangguannya. Kalau dia datang setelah kematianku, maka Tuhan kamu tidak buta dan cacat.”

Dari Jabir bin Abdullah, katanya Rasulullah s.a.w bersabda: “Dajjal muncul pada waktu orang tidak berpegang kepada agama dan jahil tentang agama. Pada zaman Dajjal ada empat puluh hari, yang mana satu hari terasa bagaikan setahun, ada satu hari yang terasa bagaikan sebulan, ada satu hari yang terasa satu minggu, kemudian hari-hari berikutnya seperti hari biasa.” Ada yang bertanya: “Ya Rasulullah, tentang hari yang terasa satu tahun itu, apakah boleh kami solat lima waktu juga?” Rasulullah s.a.w menjawab: “Ukurlah berapa jarak solat yang lima waktu itu.” Menurut riwayat Dajjal itu nanti akan berkata: “Akulah Tuhan sekalian alam, dan matahari ini berjalan dengan izinku. Apakah kamu bermaksud menahannya?” Katanya sambil ditahannya matahari itu, sehingga satu hari lamanya menjadi satu minggu atau satu bulan. Setelah dia tunjukkan kehebatannya menahan matahari itu, dia berkata kepada manusia: “Sekarang apakah kamu ingin supaya matahari itu berjalan?” Mereka semua menjawab: “Ya, kami ingin.” Maka dia tunjukkan lagi kehebatannya dengan menjadikan satu hari begitu cepat berjalan.

Menurut riwayat Muslim, Rasulullah s.a.w bersabda: “Akan keluarlah Dajjal kepada umatku dan dia akan hidup di tengah-tengah mereka selama empat puluh. Saya sendiri pun tidak pasti apakah empat puluh hari, empat puluh bulan atau empat puluh tahun. Kemudian Allah mengutus Isa bin Maryam yang rupanya seolah-olah Urwah bin Mas’ud dan kemudian membunuh Dajjal itu.”

kisah dajal dalam hadith

Persoalan tentang al-ghaibiyyah, iaitu persoalan alam ghaib yang hanya didengar melalui dalil-dalil. Namun, hakikatnya hanya Allah sahaja yang mengetahuinya. Antara perkara berbentuk al-ghaibiyyah ialah kapal nabi Nuh, tongkat Nabi Musa, syurga, neraka dan lain - lain. Kita tidak digalakkan untuk memperincikan bagaimana bentuknya, bila berlaku, adakah berjasad atau tidak serta seumpamanya. Begitu juga dajjal yang termasuk dalam persoalan al-ghaibiyyah.

Dari Abi Umamah Al-Bahiliy, beliau berkata: “Rasululah s.a.w telah berkhutbah di hadapan kami. Dalam khutbahnya itu Baginda banyak menyentuh masalah Dajjal. Baginda telah bersabda:

“Sesungguhnya tidak ada fitnah (kerosakan) di muka bumi yang paling hebat selain daripada fitnah yang dibawa oleh Dajjal. Setiap Nabi yang diutus oleh Allah SWT ada mengingatkan kaumnya tentang Dajjal. Aku adalah nabi yang terakhir sedangkan kamu adalah umat yang terakhir. Dajjal itu tidak mustahil datang pada generasi (angkatan) kamu. Seandainya dia datang sedangkan aku masih ada di tengah-tengah kamu, maka aku adalah sebagai pembela bagi setiap mukmin. Kalau dia datang sesudah kematianku, maka setiap orang menjaga dirinya. Dan sebenarnya Allah SWT akan menjaga orang-orang mukmin."

“Dajjal itu akan datang nanti dari satu tempat antara Syam dan Iraq. Dan mempengaruhi manusia dengan begitu cepat sekali. Wahai hamba Allah, wahai manusia, tetaplah kamu. Di sini akan aku terangkan kepada kamu ciri-ciri Dajjal, yang belum diterangkan oleh nabi-nabi sebelumku kepada umatnya."

“Pada mulanya nanti Dajjal itu mengaku dirinya sebagai nabi. Ingatlah, tidak ada lagi nabi sesudah aku. Setelah itu nanti dia mengaku sebagai Tuhan. Ingatlah bahawa Tuhan yang benar tidak mungkin kamu lihat sebelum kamu mati. Dajjal itu cacat matanya sedangkan Allah SWT tidak cacat, bahkan tidak sama dengan baharu. Dan juga di antara dua mata Dajjal itu tertulis ‘kafir’, yang dapat dibaca oleh setiap mukmin yang pandai membaca atau buta huruf."

“Di antara fitnah Dajjal itu juga dia membawa syurga dan neraka. Nerakanya itu sebenarnya syurganya sedangkan syurganya itu neraka, iaitu panas. Sesiapa di antara kamu yang disiksanya dengan nerakanya, hendaklah dia meminta pertolongan kepada Allah dan hendaklah dia membaca pangkal surah Al-Kahfi, maka nerakanya itu akan sejuk sebagaimana api yang membakar Nabi Ibrahim itu menjadi sejuk."

“Di antara tipu dayanya itu juga dia berkata kepada orang Arab: “Seandainya aku sanggup menghidupkan ayah atau ibumu yang sudah lama meninggal dunia itu, apakah engkau mengaku aku sebagai Tuhanmu?” Orang Arab itu akan berkata: “Tentu.” Maka syaitan pun datang menyamar seperti ayah atau ibunya. Rupanya sama, sifat-sifatnya sama dan suaranya juga sama. Ibu bapanya berkata kepadanya: “ Wahai anakku, ikutilah dia, sesungguhnya dialah Tuhanmu.”

“Di antara tipu dayanya juga dia tipu seseorang, iaitu dia bunuh dan dia belah dua. Setelah itu dia katakan kepada orang ramai: “Lihatlah apa yang akan kulakukan terhadap hambaku ini, sekarang akan kuhidupkan dia semula". Dengan izin Allah orang mati tadi hidup semula. Kemudian Laknatullah Alaih itu bertanya: “Siapa Tuhanmu?” Orang yang dia bunuh itu, yang kebetulan orang beriman, menjawab: “Tuhanku adalah Allah, sedangkan engkau adalah musuh Allah.” Orang itu bererti lulus dalam ujian Allah dan dia termasuk orang yang paling tinggi darjatnya di syurga.”

Saturday 20 March 2010

Pengenalan Ringkas Khulafah Ar-Rasyidin


Khalifah ialah orang yang memegang jawatan sebagai ketua negara Islam Tempoh pemerintahan Khulafah Ar-Rasyidin ialah lebih kurang 29 tahun(11-41 hijrah). Khulafah Ar-Rasyidin terdiri daripada:

i) Khalifah Abu Bakar al-Siddiq
ii) Khalifah Umar bin al-Khattab
iii) Khalifah Uthman bin Affan
iv) Khalifah Ali bin Abu Talib

Khalifah Abu Bakar

Nama: Abdullah bin Abi Qahafah
Keturunan: Bani Tamim
Gelaran: ‘As-Siddiq’ -mengakui kebenaran Rasulullah S.A.W dalam peristiwa Israk Mikraj Peribadi: Merupakan orang yang pertama memeluk islam.Seorang yang jujur, pekerti baik, amanah Meninggal dunia: 23 Jamadilakhir tahun 23 Hijrah dan dimakamkan di Madinah berhampiran dengan makam Rasulullah S.A.W
Pelantikan: Rasulullah S.A.W tidak menetapkan seseorang sebagai pegganti selepas kewafatan baginda. Abu Bakar mencadangkan Umar Al-Khattab atau Ubaidah sebagai pengganti beliau selepasnya. Kedua-dua membantah lalu mereka berjabat tangan dengan Abu Bakar dan terus memberi bai’ah melantik Abu Bakar sebagai khalifah.
Sumbangan:
i)Berjaya mengatasi masalah perpecahan yang melanda masyarakat Islam selepas kewafatan Rasulullah.
ii)Mempertahankan Madinah daripada ancaman kuasa luar, iaitu kerajaan Parsi di sebelah timur dan kerajaan Rom Timur(Byzantine) di sebelah barat.

Khalifah Umar bin Al-Khattab

Nama: Umar bin al-Khattab bin Naufal
Tarikh lahir: 13 tahun selepas kelahiran Rasulullah S.A.W
Keturunan: Bani A’dy
Gelaran: ‘Al-Faruk’ pemisah antara hak dan batil. Memeluk islam pada tahun ke-6 selepas kerasulan Nabi Muhammad S.A.W
Meninggal dunia: Akhir bulan zulhijjah tahun 23 hijrah berusia 63 tahun setelah memerintah selama lebih kurang 10 tahun.
Pelantikan: Melalui wasiat yang dibuat oleh Abu Bakar bagi mengelakkan perpecahan umat. Wasiat ditulis oleh Usman bin Affan. Dipersetujui oleh seluruh umat Islam
Sumbangan:
i)Menubuhkan beberapa jabatan penting seperti Jabatan Tentera, Jabatan Polis, Jabatan Pencukaian dan Jabatan Perbendaharaan
ii)Mengembangkan pengajatan al-Quran
iii)Telah menyusun sistem ketenteraan
iv)Telah membina terusan dan tali air
v)Pelaksanaan cukai Islam yang lebih terperinci

Khalifah Uthman bin Affan

Nama: Uthman bin Affan
Tarikh lahir: 5 tahun selepas kelahiran Rasulullah
Keturunan: Bani Umaiyah
Peribadi: Dari kecil lagi terkenal dengan sifat mulia, lemah lembut, hartawan, dermawan, dan memiliki semangat jihad yang tinggi
Gelaran: ‘Zunnurain’ kerana mengahwini dua puteri Rasulullah S.A.W
Meninggal dunia: 18 Zulhijjah tahun 35 Hijrah ketika berumur 80 tahun kerana dibunuh pemberontak
Pelantikan: Semasa Khalifah Umar sakit, beliau mencadangkan 6 orang sebagai pergganti beliau iaitu Usman, Ali bi Abi Talib, Talha bin Ubaidiah, Zubair bin Awwam, Saad bin Abi Waqas dan Abdul Rahman bin Auf Tahlah, Zubair, Saad dan Abdul Rahman menarik diri daripada jawatan khalifah. Berdasarkan pendapat para sahabat dan orang ramai, Abdul Rahman bin Auf megisytiharkan Usman bin Affan sebagai khalifah.
Sumbangan:
i)Berjaya meluaskan wilayah Islam hingga ke Afghanistan, Samarland, Cyprus dan Tripoli ii)Mengukuhkan pertahanan negara dengan membina angkatan tentera laut Islam
iii)Telah mengisytiharkan sebuah naskah al-Quran yang dikenali dengan musyaf uthmani
iv)Telah membina jalan raya, jambatan dan rumah rehat
v)Memperkukuhkan peranan baitumal

Khalifah Ali bin Abi Talib

Nama: Ali bin Abi Talib bin Abdul Mutalib bin Hasyim
Tarikh lahir: 10 tahun sebelum kerasulan Nabi Muhammad S.A.W
Peribadi: Bersifat berani, tegas dan menguasai pelbagai ilmu yang mendalam.Kanak-kanak yang pertama memeluk islam
Meninggal dunia: 40 hijrah setelah memerintah selama 5 tahun
Pelantikan: Menerima jawatan Khalifah atas desakan orang ramai bagi mententeramkan pergolakan akibat pembunuhan Usman bin Affan.
Sumbangan:
i)Banyak membantu menyelesaikan masalah yang berhubungan dengan masyarakat dan undang-undang Islam
ii)Berusaha mengekalkan keharmonian dan kestabilan negara
iii)Membina markas tentera di Parsi dan sempadan Syria
iv)Mengembangkan sistem ekonomi negara

Kronologi Khulafa al-Rasyidin

632 M - Kewafatan Nabi Muhammad s.a.w. Saidina Abu Bakar dilantik menjadi khalifah. Usamah mengetuai ekspedisi ke Syria. Kempen menentang Bani Tamim dan Musailimah.
633 M - Pengumpulan Al Quran bermula.
634 M - Kewafatan Saidina Abu Bakar. Saidina Umar Al-Khatab dilantik menjadi khalifah. Penaklukan Damsyik.
635 M - Penawanan Madain.
636 M - Penaklukan Syria, Mesopotamia, dan Palestin.
637 M - Mesir ditawan.
638 M - Penawanan Baitulmuqaddis oleh tentera Islam.
640 M - Kerajaan Islam Madinah mula membuat duit syiling Islam.
644 M - Saidina Umar mati syahid akibat dibunuh. Saidina Uthman Affan menjadi khalifah.
645 M - Kempen di Afrika Utara. Cyprus ditakluk.
646 M - Kempen menentang Byzantine.
647 M - Perang di laut menentang angkatan laut Byzantine. Empayar Parsi ditumpaskan.
648 M - Pemberontakan menentang pemerintahan Saidina Uthman.
656 M - Saidina Uthman wafat akibat dibunuh. Saidina Ali Abi Talib dilantik menjadi khalifah. Terjadinya Perang Jamal.
657 M - Saidina Ali memindahkan pusat pemerintahan daripada Madinah ke Kufah. Perang Siffin meletus.
659 M - Saidina Ali menawan kembali Hijaz dan Yaman daripada Muawiyah. Muawiyah mengisytiharkan dirinya sebagai khalifah Damsyik.
661 M - Saidina Ali wafat. Tamatnya pemerintahan Khulafa al-Rasyidin. Muawiyah mengasaskan Kerajaan Bani Ummaiyyah.

Pesanan Editor

Lihatlah para sahabat Rasulullah saw yang berjuang bersunguh-sunguh demi agamaNya walau kekasih yang amat dicintai telah pergi meninggalkan mereka. Mata rantai dakwah yang diperjuangkan tidak akan pernah terhenti, maka adakah kita ingin menjadi penyambung mata rantai tersebut atau hanya menjadi mutiara yang tenggelam jauh ke dasar lautan,walau betapa cantik pun, tiada siapa yang akan mampu melihat atau menyentuhnya. Jadi ayuh sahabat yang dikasihi Allah swt sekalian, mari kita sambung mata rantai perjuangan ini, walau terpaksa berkorban harta dan jiwa.'Sebarkanlah dariku walau pun satu ayat.'